SOALAN LAZIM English
1. (S) - Apa keperluan sistem e-Residence?
(J) - Pentium III dan ke atas
Talian Internet
Internet Explorer 5.0 dan ke atas /Mozilla Firefox 5/ Opera 9/ Safari
2. (S) - Apa itu Sijil Taraf Mastautin (STM)?
(J) - Sijil Taraf Mastautin (STM) adalah satu dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh LHDNM untuk mengesahkan bahawa pembayar cukai itu adalah bermastautin di Malaysia bagi tujuan percukaian.
3. (S) - Apa tujuan STM dikeluarkan?
(J) - STM dikeluarkan bagi membolehkan pembayar cukai yang bermastautin di Malaysia mendapat manfaat Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (PPPDK) yang telah ditandatangani oleh Malaysia dengan Negara Pejanji, dan juga untuk mengelak dikenakan cukai dua kali di kedua-dua Negara Pejanji.
4. (S) - Jika Malaysia tidak mempunyai PPPDK dengan sesuatu Negara tersebut perlukan pembayar cukai itu memohon STM?
(J) - Tidak perlu kerana tiada manfaat yang akan diperolehi disebabkan tiada PPPDK.
5. (S) - Bagaimana hendak membuat permohonan STM?
(J) - Permohonan STM boleh dibuat sama ada secara manual dengan mengisi Borang STM1 dan dihantar ke Cawangan berkenaan , atau melalui sistem eResidence
6. (S) - STM akan siap dalam tempoh berapa lama?
(J) - Sesuatu STM akan disiapkan dalam tempoh 3 hari bekerja dengan syarat semua dokumen yang dikemukakan adalah lengkap dan teratur. STM akan disediakan mengikut permohonan yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.
7. (S) - Adakah apa-apa bayaran yang dikenakan untuk memohon STM?
(J) - Tiada apa-apa bayaran dikenakan oleh LHDNM untuk mendapatkan STM
8. (S) - Adakah permohonan STM perlu dibuat setiap tahun?
(J) - Tempoh sah sesuatu STM itu ialah 12 bulan dari tarikh STM itu ditandatangani. Permohonan STM perlu dibuat apabila tempoh tersebut tamat atau apabila klien di Negara Pejanji memerlukan STM tersebut sebelum membuat apa-apa bayaran.
9. (S) - Dengan adanya STM bolehkah saya membuat pilihan untuk dikenakan cukai di mana-mana Negara?
(J) - STM adalah untuk membolehkan pembayar cukai mendapat manfaat PPPDK. PPPDK yang akan menentukan di Negara mana pembayar cukai itu layak dikenakan cukai.
10. (S) - Saya telah memperolehi STM dari LHDNM. Klien di Negara Pejanji hanya memerlukan salinan fotostat sahaja, oleh itu salinan asal masih lagi dalam simpanan saya. Baru-baru ini klien saya dari Negara Pejanji lain telah meminta STM dikemukakan. Bolehkah saya mengemukakan STM yang telah diperolehi bagi Negara pejanji yang pertama itu?
(J) - Lazimnya, pihak berkuasa percukaian Negara Pejanji memerlukan STM yang asal. Sekiranya salinan fotostat telah dikemukakan, pihak berkuasa percukaian Negara Pejanji akan minta salinan asal apabila audit dijalankan ke atas syarikat di Negara Pejanji tersebut. Adalah dinasihatkan supaya permohonan baru dibuat untuk klien yang berlainan untuk mengelakkan daripada manfaat PPPDK ditarik balik dan penalti dikenakan.
11. (S) - Syarikat saya telah dikenakan cukai ke atas keuntungan yang diperolehi dari perniagaan yang dijalankan dengan syarikat di India, sedangkan syarikat saya tidak mempunyai establismen tetap di India. Bagaimana saya hendak menuntut semulai cukai yang telah dibayar di India?
(J) - Mengikut peruntukan Artikel 5 dan Artikel 7 dalam PPPDK Malaysia/ India, India hanya boleh mengenakan cukai ke atas keuntungan perniagaan sekiranya syarikat tuan mempunyai establismen tetap di India. Oleh kerana syarikat tuan tidak mempunyai establismen tetap di India, India tidak berhak untuk mengenakan cukai ke atas keuntungan perniagaan tersebut.
Tuan boleh menuntut semula bayaran cukai yang telah dibuat di India dengan mengemukakan surat rayuan serta STM kepada pihak berkuasa percukaian di India.
12. (S) - Syarikat saya telah dikenakan cukai pegangan sebanyak 20% di Indonesia bagi pendapatan faedah yang diterima dari syarikat di Indonesia. Saya dimaklumkan bahawa syarikat saya boleh menuntut lebihan cukai pegangan sebanyak 10% dari pihak berkuasa percukaian di Indonesia sekiranya syarikat saya dapat membuktikan bahawa syarikat ini adalah bermastatutin di Malaysia. Apa syarikat ini perlu buat untuk menuntut semula lebihan bayaran cukai pegangan tersebut?
(J) - Tuan boleh memohon STM dari LHDNM dan seterusnya membuat rayuan kepada pihak berkuasa percukaian di Indonesia untuk memulangkan semula 10% bayaran cukai pegangan yang terlebih bayar tersebut.
13. (S) - Saya bekerja dari rumah di Malaysia dengan syarikat IT di Perancis. Hasil kerja saya akan dihantar kepada majikan saya di Perancis melalui internet. Setiap bulan bayaran gaji, elaun dan komisen saya akan dimasukkan ke akaun saya oleh majikan. Penguatkuasa cukai di Perancis hendak mengenakan cukai ke atas pendapatan yang saya perolehi dari majikan tersebut. Perlukah saya membayar cukai di Perancis?
(J) - Oleh kerana tuan adalah bermastautin di Malaysia dan menjalankan penggajian di Malaysia, Malaysia mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atas pendapatan penggajian yang diperolehi dari majikan di Perancis. Pendapatan ini perlu dilapor ke LHDNM setiap tahun.